22 March 2012

8 iktibar selepas 8 tahun Ahmad Yaasin syahid

Hari ini (22 Mac 2012) genap 8 tahun perginya Sheikh Ahmad Yaasin sebagai seorang syahid. Secara ringkas, kita mengambil 8 iktibar dari kesyahidannya:

1. Kematian adalah satu kemestian. Semua yang hidup akan mati. Kubur sebagai tempat persinggahan dan laluan ke akhirat adalah pasti. Soalnya, mati itu bagaimana? Ada yang mati sebagai pemimpin zalim yang dibenci. Ada yang mati sebagai selebriti yang ditangisi tetapi hakikatnya ia menangisi dirinya sendiri. Ada yang mati sebagai hamba Allah yang sejati. Dan ada yang syahid, rohnya riang gembira di syurga walaupun jasadnya berderai merata dan darahnya memenuhi bumi. Assyahid Sheikh Ahmad Yaasin meninggal hari Isnin dalam keadaan berpuasa, awal subuh dinihari.

2. Jika Allah menyayangi anda, Allah akan memberikan husnulkhatimah buat anda. Tiada kesudahan paling baik melainkan mati syahid. Kurang sedikit, mati dalam situasi taatkan Allah secara umum.

3. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya dan Islam. Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang besar. Lebih 200 ribu mengiringi jenazahnya. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kematiannya. Majlis Keselamatan PBB mengutuk pembunuhannya. Kerajaan Arab juga demikian. Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya. Sheikh Ahmad Yaasin bukannya menteri, tidak juga raja atau pembesar tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

4. Permusuhan dan pertembungan kita dengan Yahudi yang memusuhi kita, regim Zionis dan semua proksi mereka adalah berterusan sekalipun pelbagai perjanjian ditandatangani, pelbagai persidangan dan seminar dilihat di tv dan pelbagai kata manis dari Amerika dan Eropah dijanji.

5. Sekalipun umat Islam lemah, hanya melihat pemimpin gerakan Islam mereka dibunuh, atau hanya mampu berdemonstrasi menyatakan kebencian kepada musuh, namun untuk menyerah kalah, menggadaikan prinsip perjuangan, mengiakan segala perjanjian zalim dengan regim yang zalim tidak sekali.

6. Untuk menggerakkan ummah, tidak perlu kelayakan akademik yang tinggi-PhD, MA, BA atau jawatan-jawatan yang hebat. Bacalah kelayakan akademik As-syahid Sheikh Ahmad Yaasin yang sederhana sahaja.

7. Peranan musuh dalam selimut sangat bahaya. Tidak mungkin Sheikh Ahmad Yaasin boleh dibunuh sedemikian rupa seperti pemimpin Palestin yang lain, kalau tidak dengan kerjasama dan maklumat dari ‘orang dalam’ atau dari kalangan munafiq dalam masyarakat Islam itu sendiri.

8. Perjuangan Islam tidak terhenti dengan syahid dan matinya pemimpin. Rasulullah SAW wafat, para sahabat meninggal, para ulama dan pejuang Islam terdahulu telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah. Nabi SAW memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlaku antara 2 ketentuan-menang atau syahid.

Penulis ialah Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu.

No comments: