22 March 2011

BILA ORANG TAK SUKA ULAMA....


Saya merujuk kepada artikel yang tersiar di muka 10, akhbar New Straits Time bertarikh 19 Mac 2011 yang bertajuk Nik Aziz’s Outlandish Edicts (Fatwa Pelik Nik Aziz).

Saya kira penulis artikel tersebut Azmi Anshar berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan sewaktu menulis artikel yang sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Dari para pertama lagi, penulis menampakkan kedangkalannya apabila menyentuh berkenaan dengan gesaan YAB Tuan Guru supaya wanita Kelantan berpakaian sopan dan menutup aurat.

Penulis menyifatkan gesaan ini sebagai seemingly denuded women of their long-held rights to dress, appear and behave as they always had in Malaysia (kelihatan menafikan hak wanita selama ini yang bebas untuk berpakaian, muncul di khalayak dan menampilkan diri sebagaimana kebiasaan wanita di Malaysia).


Hairan sekali, apabila seorang penulis yang namanya mencerminkan dirinya sebagai seorang muslim boleh mempertikaikan apa yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu.Sedarkah penulis, bahawa pakaian menutup aurat bukannya difardhukan oleh Nik Aziz, apa lagi Muhammad SAW, bahkan ia merupakan kefardhuan daripada Allah SWT. Tidak malukah penulis sebagai seorang muslim mempertikaikan kata-kata Menteri Besar Kelantan itu dalam keadaan dirinya masih merupakan seorang yang bersyahadah ; bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah?

Perlu diingatkan, bermula tahun 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz hanya menyebut isu aurat sebagai satu teguran kepada rakyat dan juga kakitangan wanita yang bekerja, tidak pernah ada satu tangkapan yang dibuat terhadap mereka yang tidak menutup aurat sehinggalah pada tahun 2005, barulah diperkenalkan kod berpakaian dan dikenakan denda kepada mereka yang melanggarnya. Adakah ini merupakan satu perkara yang pelik sehingga dianggap fatwa pelik oleh Azmi Anshar?

Sedarkah Azmi bahawa di Amerika Syarikat sendiri pada hari ini, fesyen berseluar londeh dan mendedahkan pakaian dalam juga telah dilarang demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam. Tidakkah itu juga merupakan satu fatwa pelik? Atau Azmi Anshar ingin berkata bahawa PAS juga wujud di Amerika? Demikian juga di China, pakaian seksi sehingga menggangu mata orang lain juga turut dilarang di atas alasan menjaga ketenteraman awam. Apa jawapan Azmi Anshar terhadap langkah kedua-dua negara ini?

Artikel ini juga bagi saya penuh fitnah terhadap dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan di Kelantan. Seolah-olah kerana dasar inilah wanita di Kelantan ditindas. Barangkali Azmi Anshar ini seorang penghuni gua yang baru keluar melihat cahaya. Sedarkah beliau bahawa di Kelantanlah, golongan wanita dibela dengan pelbagai dasar kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Di sini terdapat skim perlindungan kepada armalah, cuti wanita bersalin selama 60 hari, penggalakan wanita yang bekerja di kilang-kilang agar diberikan shif bekerja pada waktu siang sahaja, perlantikan Senator daripada kalangan wanita dan juga perlantikan penghulu khas untuk golongan wanita. Semuanya ini merupakan cetusan perubahan yang dimulakan oleh kerajaan yang menindas wanita seperti yang digambarkan oleh penulis Azmi Anshar. Dan jangan lupa, di saat cuti dua hari seminggu yang dinikmati oleh kakitangan awam di seluruh negara pada hari ini termasuklah golongan wanita, ia bermula di negeri Kelantan yang mana Doctor In The House itu pernah melabelnya sebagai budaya pemalas!

Azmi Anshar juga mempertikaikan soal calon wanita yang bertanding mewakili PAS pada hari ini sebagai satu perubahan terhadap fatwa pelik Nik Aziz. Kasihan sungguh apabila beliau tidur selama dua dekad sehingga gagal untuk melihat punca wanita tidak digalakkan bertanding sekitar tahun 1970an – 1990an. Sedarkah Azmi Anshar, parti yang pertama meletakkan calon wanita ialah PAS melalui calonnya Khatijah Sidek yang bertanding di kerusi Dungun, Terengganu pada tahun 1955. Pada waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di luar negara dan masih belum mengeluarkan pandangannya (atau dalam istilah Azmi Anshar sebagai fatwa pelik).

Apa yang menyebabkan golongan wanita agak terkebelakang satu ketika dahulu ialah kerana permainan politik kasar UMNO yang menggunakan politik ala samseng dengan pemuda tahan lasaknya dan lain-lain. Senario ini meletakkan ahli politik terutama dari pembangkang seperti PAS dalam keadaan bahaya dan ini tidak sesuai untuk dipikul oleh golongan wanita. Lupakah kita kepada tragedi yang berlaku kepada Allahyarham Abdul Samad Gul, ahli parlimen PAS yang mati dibunuh satu ketika dahulu? Lupakah kita kepada insiden-insiden berdarah yang menimpa penceramah-penceramah PAS satu ketika dahulu?

Hari ini, senario tersebut beransur reda dan wanita dibenarkan kembali untuk berada di pentas politik ekoran keselamatannya yang sudah agak terjamin berbanding sebelum ini. Azmi Anshar perlu sedar, polisi tersebut bukannya satu fatwa, tetapi pendirian sementara mengikut senario semasa. Sepatutnya Azmi Anshar lebih fokus kepada agama yang diperalatkan oleh UMNO yang hanya bersifat sementara. Islam Hadhari sebagai contoh, di longkang mana ia dicampakkan pada hari ini setelah ia dijulang bagaikan ratib wajib satu ketika dahulu?

Melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai anti wanita ialah satu tuduhan songsang yang sangat tersasar. Jangan dilupa cadangan Tuan Guru agar diberikan peluang kepada Muslimat PAS menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS beberapa tahun yang lampau. Bolehkah UMNO membuka pintunya seluas itu? Tentu sekali tidak, kerana jawatan dalam parti UMNO umpama lubuk yang boleh menjanjikan seribu satu projek dan tender.

Azmi Anshar tidak berjaya membuktikan apa-apa melalui tulisannya, hanya sekadar memenuhi separuh muka surat akhbar NST dengan satu tulisan sampah yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sekian.


Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari (20 Mac 2011)
- Penulis ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

21 March 2011

PERANG LAGI !!!



TRIPOLI: Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis melancarkan peluru berpandu Tomahawk dan membuat serangan udara terhadap beberapa sasaran di Libya awal pagi semalam, mencetuskan kemarahan pemimpin negara Arab itu, Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean sebagai ‘medan perang.’

Jet pejuang Perancis lewat kelmarin memulakan serangan dalam operasi ‘Odyssey Dawn’ itu yang bertujuan menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya selaras resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diluluskan Khamis lalu.
Operasi berkenaan yang menyaksikan kereta kebal dan kereta perisai tentera Gaddafi dibedil, adalah campur tangan ketenteraan antarabangsa terbesar di rantau Arab sejak pencerobohan ke atas Iraq pada 2003.
Beberapa jam selepas tindakan permulaan oleh Perancis, kapal perang dan kapal selam AS dan Britain melancarkan 112 peluru berpandu Tomahawk ke arah 20 sasaran di kawasan pantai Libya dalam kegelapan sebelum fajar bagi membolehkan jet pejuang tentera bersekutu memasuki ruang udara Libya tanpa tentangan.



Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara AS yang tidak mahu namanya didedahkan berkata sistem pertahanan udara Libya lumpuh akibat serangan bertalu-talu misil Tomahawk berkenaan.

Selain melancarkan misil, Tentera Udara Diraja Britain turut menghantar beberapa jet pejuang Tornado GR4, manakala AS menghantar 19 pesawat termasuk pengebom halimunan B2, untuk membuat pengeboman ke atas Libya.

Dalam reaksi pertamanya terhadap serangan berkenaan, Gaddafi berkata tindakan AS, Britain dan Perancis itu adalah satu keganasan terhadap Libya.
“Kami akan mempertahankan negara ini daripada musuh asing yang mahu mengeksploitasi pergolakan di sini.

“Penduduk Libya bersama saya dalam melancarkan perang besar-besaran terhadap musuh asing ini. Kami sudah membuka depoh senjata bagi mengagih senjata kepada rakyat untuk menentang pengganas ini,” katanya dalam ucapan disiarkan televisyen tempatan semalam.

Tentera Gaddafi mendakwa 48 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan ulama terbunuh dan 150 cedera dalam serangan tentera bersekutu itu, bagaimanapun angka itu tidak dapat disahkan oleh pihak berkecuali.

Keganasan meletus di Libya sejak sebulan lalu apabila Gaddafi cuba menghapuskan bantahan rakyat yang mahu menamatkan pemerintahan kuku besi beliau sejak 42 tahun lalu.

Pemberontak yang menguasai bandar kedua terbesar Libya, Benghazi menyambut baik serangan tentera bersekutu itu yang dijangka mengubah momentum untuk memihak kepada pemberontak selepas tentera Gaddafi mampu menyingkir mereka daripada beberapa bandar.

Bangkai kenderaan tentera Gaddafi yang musnah dan terbakar dilihat di jalan menuju ke Benghazi semalam, membolehkan pasukan pemberontak mara ke bandar Ajdabiyah untuk menawannya semula selepas disingkir tentera kerajaan minggu lalu. – Reuters/Agensi/AFP

17 March 2011

SOAL JAWAB...

SOALAN:

jika kita sedang membaca A-Quran dan pada masa yg sama telah masuk waktu solat fardhu... manakah yang lebih afdal, sama ada menjawab azan ataupun meneruskan bacaan Al-Quran?

JAWAPAN:

Lebih utama menjawab seruan azan. Berdasarkan hadith :ari Abu Sa’id Al-Khudri ra ia berkata, Rasulullah saw bersabda, “Apabila kalian mendengar seruan (untuk solat), maka sahutlah (kalimat demi kalimat) sebagaimana yang dikumandangkan oleh muazin.” [riwayat Bukhari dan Muslim] Dari Umar bin Khataab ra. Ia berkata, Rasulullah saw bersabda, “Apabila muazin mengumandangkan (kalimat azan) ‘Allahu akbar, Allahu akbar’ maka salah seorang dari kalian menyahut dengan ‘Allahu akbar, Allahu akbar.’ Kemudian ia mengumandangkan ‘Asyhadu allaa illaaha lllallaah’ disahut dengan ‘Asyhadu allaa illaaha lllallaah’. Kemudian ia mengumandangkan ‘Ash-hadu anna Muhammadan Rasool Allaah’ disahut dengan ‘Ash-hadu anna Muhammadan Rasool Allaah’. Kemudian ia mengumandangkan ‘Hayya ‘ala’l-salaah’ dan disahut dengan ‘Laa hawla wa laa quwwata illa Billaah’. Kemudian ia mengumandangkan ‘Hayya ‘ala’l-falaah’ disahut dengan ‘Laa hawla wa laa quwwata illa Billaah’ Kemudian dikumandangkan ‘Allaahu akbar, Allaahu akbar’ disahut dengan ‘Allaahu akbar, Allaahu akbar’ Kemudian ia kumandangkan ‘Laa ilaaha ill-Allaah’ disahut dengan ‘Laa ilaaha ill-Allaah’, Semuanya diucapkan dengan seikhlas hati, nescaya ia masuk syurga.” [Riwayat Muslim]